Sunday, January 9, 2011

Ramalan Harga Emas 2011

Harga emas cecah RM4,650 seaun

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Harga emas dunia bakal mencecah paras AS$1,500 (RM4,650) satu auns pada tahun ini, kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.

Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku memandangkan trend semasa dan permintaan berterusan di pasaran.

”Pada tahun lalu, harga emas bagi satu auns adalah sekitar AS$1,400 (RM4,340) dan ia terus meningkat.

”Walaupun pada awal tahun ini, harganya mengalami sedikit penurunan, tetapi kami yakin ia bakal mencecah AS$1,500 satu auns,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas di minta mengulas mengenai harga pasaran semasa emas pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Poh Kong di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Perhubungan Korporat, Pentadbiran & Sumber Manusia, Margaret Hon dan Akauntan, Hoh Sze Haw.

Tahun lalu, harga komoditi mengalami lonjakan positif apabila ditutup pada paras yang tinggi terutama bagi emas hingga ke minyak mentah.

Harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4406.34) satu auns pada hari terakhir 2010, naik kira-kira 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Para penganalisis menjangkakan trend peningkatan harga akan berterusan pada tahun ini kerana emas merupakan komoditi paling cemerlang dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.

Secara tradisinya ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai dan sering digunakan sebagai mekanisme lindung nilai terhadap deflasi.